BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday 8 November 2010

Satu aje Mulut???

Masa ini, hari ini dan jam ini , kaloi menghadiri satu taklimat yang penting. Penting yang bagaimana tu tak perlulah kaloi jelaskan kerana hal ini memang penting kerana melibatkan masa depan para pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan.Semasa taklimat berlangsung, kaloi duduk di bahagian belakang sekali, bukannya kaloi tak suka duduk saf depan, tapi sebenarnya kaloi suka menjadi pemerhati gelagat manusia dalam situasi yang tidak formal,yang tidak dibuat-buat dan tidak mengaksikan sebarang babak lakonan dunia.
Tersentuh hati kaloi melihat gelagat peserta taklimat yang asyik berbual dan tidak mengendahkan butir bicara pemberi maklumat dibahagian depan dewan.Begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh mereka memberikan taklimat,namun sambutan hanyalah di bahagian hadapan audiens sahaja, sedangkan di bahagian belakang dewan para peserta hanya berborak kosong dan membuat kerja sendiri,seolah-olah tidak mengendahkan keadaan sekeliling sedangkan mereka inilah yang akan kembali ke destinasi masing-masing dan akan memberikan taklimat yang sama pada peringkat bawahan di tempat masing-masing....
Teringat kaloi akan kebesaran Tuhan dalam mencipta makhluknya.Mengapa Tuhan menciptakan manusia dengan 2 tangan, 2 kaki, 2 telinga dan 2 mata tetapi hanya 1 mulut?? Jawapannya amat mudah....semudah ABC ! Tuhan mahukan makhluknya untuk BANYAKKAN BEKERJA dan KURANG BERCAKAP !!!

Melalui kurniaan Tuhan inilah yang menginsafkan kita akan kebesaran Tuhan akan ciptaannya yang memang mempunyai pelbagai kelebihan. Kita sebagai manusia hanya perlu melihat segala aspek tersurat mahupun yang tersirat......Oleh itu jagalah mulut kita,kurangkan bercakap,lebihkan bekerja....sekian.

Tuesday 15 June 2010

Tangis kerana Tawa

Salam untuk semua,
Sudah agak lama kaloi tidak berkata dan meluah rasa, bukan kerana ketandusan idea tapi hanya faktor kekangan masa dan bebanan kerja membuatkan kaloi membisu seketika.Kaloi tak pasti adakah segala pandangan dan pendapat kaloi ini dibaca orang atau tidak, namun kaloi hanya mahu berkongsi idea bersama-sama.Ramai rakan kaloi yang berkata "mengapa songsang bila berbicara,mengapa menongkah arus biasa dan mengapa ,mengapa dan mengapa???
Sebenarnya kaloi tak menongkah arus, kaloi tak songsang bicara, kaloi hanya mahu membuka minda bahawa disebalik sesuatu pasti ada lagi sesuatu, yang kebiasaannya orang tidak mahu ambil pusing, tidak mahu ambil peduli dan tidak mahu ambil kesah.
Sepanjang 2-3 minggu ini, beberapa teman dan jiran kaloi telah mendapat cahaya mata.Tahniah kaloi ucapkan. Nampaknya semakin ramailah umat manusia di dunia ini.Pada masa yang sama beberapa jiran dan teman kaloi juga telah meninggal dunia.Takziah kaloi ucapkan.Inilah kitaran hidup.Yang pergi akan diganti dengan yang baru, dan proses ini berlangsung terus.
Terfikir kaloi akan sesuatu, Anak yang lahir disambut dengan tawa ria oleh orang sekeliling.....
                                         Anak yang lahir menyambut tawa itu dengan tangisan......
                                         Orang yang mati disambut dengan tangisan oleh orang sekeliling....
                                         Orang yang mati menyambut tangisan itu dengan ?????
Entahlah kaloi sendiri tak tahu nak memberi jawapannya. Cuma kalau diperhalusi proses kitaran hidup di atas,kita dapati berlaku sedikit perbezaan dan kontra dan perlu diperhalusi sebab musebabnya.Pasti ada hikmah disebalik peristiwa ini..Itulah yang kaloi ingin semua orang berfikir dan menjana minda, bahawa yang tersirat lebih bermakna daripada yang tersurat, bukan cukup sekadar melihat tapi gunakanlah makrifat..

                       "DARI TUHAN KITA DATANG, KEPADA TUHAN KITA KEMBALI"

Monday 3 May 2010

Buka Mata Hati.

MATA ? Apabila menyebut tentang MATA, maka terlintas dalam fikiran kaloi, akan kegunaan mata kepada kita.Jika ditanya  hatta kepada semua makhluk di dunia ini sekalipun, pasti semuanya akan menjawab betapa pentingnya mata itu.Sememangnya tidak dinafikan bahawa fungsi mata amat besar sekali..Cuma kaloi tiba-tiba terfikir bahawa mata juga terbatas fungsinya. Maksud kaloi ialah, mata hanya dapat melihat dan menilai sesuatu melalui zahirnya sahaja, sebagaimana zahir begitulah gambarannya.Tuntasnya ,mata hanya menilai daripada aspek luaran sahaja.Penilaian begini biasanya boleh memesongkan bukti dan kebenaran lantaran maksud tersirat tidak dapat diselami oleh mata yang lebih menilai aspek tersurat semata-mata.
   Alangkah baiknya jika sesuatu pandangan itu diluah dan disuarakan mengunakan DUA MATA iaitu mata biasa dan mata hati.Gunakan lah akal fikiran yang telah Tuhan beri seiring dengan penggunaan mata.Pastinya kaloi rasa penilaian dan penghakiman dapat dijalankan dengan betul dan tidak berat sebelah...
    MATA OH MATA...mengapa kau boleh berdusta kepada pemiliknya? atau apakah pemilik mata itu tidak menggunakan segala pancaindera Tuhan sepenuhnya?Apakah mata tidak pernah silap? Jika begitu mengapa ada istilah SILAP MATA ?Bukankah itu hanya untuk menipu dan memperbodoh-bodohkan si pemilik mata sahaja? Sesungguhnya ,pandangan menggunakan pelbagai mata adalah lebih baik berbandingan pandangan mata sehala sahaja.









 OLEH ITU ,JANGAN SESEKALI TUTUP MATA HATI KITA!

Sunday 2 May 2010

Semangat Kesukanan VS Semangat nak Menang...

Semalam,Kaloi ada menyaksikan satu pertandingan Bola Jaring Peringkat Negeri bagi kategori Tadika. Pertandingan itu dilangsungkan di Ledang ( dulu Tangkak ) selama 1 hari sahaja.Lagipun salah seorang puteri Kaloi ada mengambil bahagian.Seronok bukan kepalang kaloi lihat anak-anak kecil bermain...
      Perkara yang menarik hati kaloi sebenarnya ialah, dalam satu hari anak-anak ini terpaksa bermain sekurang-kurangnya 4 perlawanan yang terlalu sekejap rehatnya...Tentu anak-anak ini mempunyai stamina yang cukup hebat kerana yang menjadi juara pertandingan akan bermain sebanyak 7 perlawanan dalam satu hari...Taklah seperti pemain profesional yang bermain hanya 1 kali dalam satu hari!!!!! Itupun pemain profesional dewasa itu asyik mengeluh dan mencari,mencipta malah mereka beraneka alasan untuk menyelamatkan diri apabila kalah......Tidak seperti anak-anak comel itu yang sentiasa gembira walaupun tewas kerana mereka sedar dan lebih tahu erti kepentingan bersukan.BUKAN ASYIK NAK MENANG SAJA !
      Perkara keduanya ialah, sepanjang hari itu tidak terdapat walau satu kali pun berlaku pergaduhan dalam permainan.Begitu kuat semangat kesukanan mereka.Dilanggar atau melanggar adalah disambut dengan senyuman. Tidak langsung menyimpan perasaan dendam dan ingin membalas.Berbeza pemain dewasa yang pastinya akan mencari jalan ingin membalas perbuatan pihak lawan jika dia dikasari...begitu  berbeza sekali antara dua dunia ini.
     Perkara ketiga pula ialah apabila terdapat segelintir orang dewasa yang mengajar pemain suci ini agar bermain dengan KASAR dan menyuruh anak-anak cilik itu agar MEMBALAS jika dikasari..AHHH...betapa DUNGGUnya orang itu.Mengajar anak kecil sifat Tidak Baik itu....bagaikan KETAM MENYURUH ANAKNYA BERJALAN LURUS...Apakah perlu KAIN PUTIH ITU DICORAKKAN DENGAN WARNA HITAM SAHAJA????Tidak perlukah warna-warna lebih ceria dipalitkan bersama?Lebih menyedihkan ialah jika anak sendiri mengasari dia tersenyum bangga, namun jika dikasari dia mula melatah.....
     ORANG JENIS APA YA JIKA BEGITU??

Sunday 25 April 2010

HANTU GLOBAL.

HANTU.....Apabila sebut perkataan hantu maka sudah pastilah tidak dapat dielakkan ada kaitan dengan alam roh,orang mati dan kubur.Namun di sini, kaloi bukan nak cakap fasal kematian, tetapi konsep hantu itu sendiri.Sama-samalah kita mencari jawapan kepada persoalan yang sering bergentayangan dalam minda kaloi sejak sekian lama ini.
Persoalan 1 :
  Mengapa Orang Melayu lebih takut kepada hantu Melayu sahaja, Orang Cina pula takut kepada hantu Cina dan begitu juga dengan kaum-kaum lain yang lebih takut kepada hantu kaum masing-masing sahaja? Kenapa mereka tidak kesahkan hantu yang tidak sama asal bangsa mereka?
Persoalan 2:
   Mengapa hantu lebih suka dan selalu mengusik,menakutkan dan menyakat orang yang sebangsa dengan mereka sahaja iaitu sebangsa sebelum mereka mati dulu? Kenapa hantu Cina tak cuba takutkan orang India, hantu Melayu takutkan orang Cina dan Drakula takutkan orang Melayu ?? Mengapa? Adakah hantu-hantu itu bimbang yang orang yang ingin disakat,diusik atau ditakutkan itu tidak faham apa yang ingin dicakapkan oleh hantu itu, lantas orang itu tidak berasa takut langsung?Atau adakah hantu-hantu itu hanya tahu satu bahasa sahaja? Jika begitu...nampaknya sia-sialah mereka menjadi hantu kerana peranan mereka amat terhad sekali.Tidak GLOBAL langsung nampaknya....
Persoalan 3:
   Mengapa (pada kebiasaannya) Orang Melayu tidak takut untuk berjalan di perkuburan orang Cina pada waktu tengah malam dan begitu juga sebaliknya?Adakah mereka tahu bahawa hantu di tempat itu tidak akan mengusik mereka lantaran berlainan bangsa dan berbeza bahasa?Apakah hantu-hantu itu terpaksa pergi kelas tuisyen bahasa ataupun membeli kamus dwibahasa agar dapat berfungsi dengan lebih efisien?
Persoalan 4:
   Mengapakah hantu-hantu ini lebih aktif pada waktu malam sahaja?Adakah mereka tidur pada waktu siang?Takkan hantu-hantu ini sedang berkursus nak jadi "jaga " pulak?Ataupun adakah mereka berasa malu kerana seringkali hantu digambarkan dengan rupa yang hodoh, dan segan jika dilihat orang pada waktu siang.Jika begitu,sekali lagi hantu-hantu ini tidak dapat memikul tanggungjawab dan bertugas dengan baik kerana sebahagian besar manusia akan tidur pada waktu malam berbanding waktu siang....
   Pada pendapat kaloi,sekiranya hantu lebih bersifat global,iaitu dapat berfungsi untuk semua kaum,sudah pastilah objektif perpaduan antara kaum akan lebih mudah tercapai.Jika hantu melayu boleh berkomunikasi dengan orang Cina,hantu Cina berkomunikasi dengan orang Melayu,bergitu juga dengan hantu India (ketiga-tiganya boleh berbahasa Malaysia) sudah pastilah Objektif  Program RIMUP yang diperkenalkan di sekolah-sekolah dan IPT akan terlaksana dengan mudah.
   Alangkah hampa harapan pemimpin negara yang mahukan Gagasan 1Malaysia dapat dicapai kerana hantu-hantu tidak menyahut seruan itu ,sebabnya pada suatu hari nanti tidak ada lagi bangsa Melayu,Cina atau India..yang ada hanyalah bangsa Malaysia.......Apakah hantu akan berfungsi lagi pada masa itu???

Saturday 24 April 2010

BERTEMU DULU BARU PISAH ATAU PISAH DULU BARU BERTEMU?

Orang sering menyebut Bertemu dan Berpisah adalah adat biasa..Maknanya ramai mengiakan bertemu dulu baru berpisah kerana kalau tidak bertemu,mana mungkin akan berlaku perpisahan....Tetapi bagi kaloi,adalah sebaliknya. Sebenarnya kita akan berpisah dahulu baru bertemu. Ini kerana kita sentiasa terpisah dengan orang yang kita tidak kenal,apabila kita kenal barulah kita bertemu.Orang yang kita tidak kenal itu membawa maksud kita terpisah dalam pelbagai aspek seperti terpisah hubungan secara langsung,terpisah persekitaran dan terpisah komunikasi,selepas itu sedikit demi sedikit kita melalui proses "bertemu" dan mula mengenal seseorang itu sama ada kenal rapat atau kenal biasa..Itu hanya pendapat kaloi sahaja.Jika orang lain tidak setuju pun tak (penggunaan sinkop) menjadi apa-apa mahupun kudis pada kaloi.Semua orang ada hak untuk menyuarakan pendapat mereka.Kita harus berfikiran terbuka agar warna-warna minda lebih gemerlap dan beraneka,tidaklah malap dan jumud.
    Seperti hari ini, seorang rakan kaloi akan berhijrah ke tempat lain atas pertukaran tempat kerja dan sekaligus bertukar gelaran jawatan kepada Penolong Pengarah.Untuk itu kaloi ingin ucapkan tahniah kepada rakan baik kaloi itu atas komitmen terhadap jawatan barunya itu.Seperkara yang kaloi belajar daripada rakan kaloi ini ialah tentang sikap tenangnya semasa menghadapi pelbagai situasi tanpa menunjukkan ekspresi dan mimik muka yang mudah dibaca,sentiasa tenang dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dan sering tersenyum menghadapi sebarang situasi..Itu yang membuatkan kaloi kagum dengan teman kaloi ini.Dikesempatan ini kaloi ingin ucapkan terima kasih.Sesungguhnya pertemuan yang telah berlaku tidak ada perpisahan kerana kami masih terus berhubungan.
    TUAI PADI ANTARA MASAK
    ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN
    INTAI KAMI ANTARA NAMPAK
    ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN

Monday 19 April 2010

Perigi Buta atau Buta Mata Hatinya??

Cerita lama buat anak-anak kaloi...
Ceritanya begini :
        Dalam sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri yang telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak.Sikap dan peribadi kedua-dua suami isteri ini agak berbeza. Si suami seorang yang pendiam manakala si isteri amat suka bercakap dan berleter.Ada sahaja leteran si isteri, tidak kira dalam soal apapun..sehinggalah pada suatu hari si suami tidak lagi dapat menahan sabarnya terhadap sikap si isteri itu.
       Si suami telah mengambil keputusan yang cukup drastik iaitu memasukkan isterinya ke dalam sebuah perigi buta yang amat dalam.Si suami ini bukan kejam sangat orangnya. Setiap hari dia akan menghantar makanan untuk isterinya menggunakan tali .Mulai saat itu si suami tidak lagi mendengar leteran isterinya.
       Pada mulanya dia berasa hidupnya begitu aman dan jiwanya tenteram,tetapi lama -kelamaan hari-hari yang dilalui oleh si suami mulai membosankan kerana sudah lama tidak mendengar suara leteran si isteri.Selama ini dia sudah lali dengan leteran isterinya.Hidupnya kini terasa kosong dan sunyi.Maka teringatlah dia kepada isterinya yang telah ditinggalkan dalam perigi buta itu.Akhirnya setelah berfikir semasak-masaknya, dia mengambil keputusan untuk menjemput semula isterinya pulang ke rumah.
     Keesokan harinya, si suami telah berada di sisi telaga buta tersebut lantas menghulurkan tali ke dalam perigi buta dan menyeru isterinya supaya naik.Sebaik sahaja si suami habis berkata-kata, dia terasa yang tali yang dihulurkan itu seolah-olah ditarik sesuatu. Memikirkan yang menarik tali itu ialah isterinya,tanpa berlengah lagi si suami segera menarik tali itu ke atas dengan perasaan gembira.
    Sebaik sahaja tali itu hampir habis ditarik,tiba-tiba muncul satu lembaga yang hodoh rupanya,hitam kulitnya,berbulu seluruh tubuhnya dan begitu menyeramkan mata memandang.Segera si suami bertanya kepada lembaga itu , "Mana isteri aku?"
    Tiba-tiba lembaga itu menangis dan merayu dengan suara yang amat garau,"Tolonglah aku,tolonglah aku".
Si suami bertanya lagi,"Siapa kau sebenarnya?". Jawab lembaga itu, "Aku adalah penunggu perigi buta ini.Semenjak isteri kau berada dalam perigi buta aku ini, dia asyik bercakap dan berleter sahaja.Sekarang aku dah tak tahan mendengar leteran isteri kau itu.Tolonglah kau ambil semula isteri kau itu", rayu si penunggu telaga buta itu dengan esak tangisnya.
MORAL CERITA :
1. Jangan suka cakap banyak
2. Bersyukur dengan pilihan kita
3. Reda dengan ketentuan Tuhan.

     Tuhan mengurniakan kita dengan DUA TANGAN, DUA MATA dan DUA TELINGA , tetapi hanya SATU MULUT. Mengapa? kerana Tuhan mahukan kita kurangkan bercakap tapi lebihkan bekerja.
     

Renungan







Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud :
Ada 4 perkara di pandang sebagai ibu iaitu:-


Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN

Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERCAKAP

Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA

Ibu dari segala CITA-CITA adalah SABAR

Berdasarkan sabda Junjungan kita ini,sesungguhnya begitu mendalam dan bermakna sekali maksudnya. Apatah lagi jika dikupas satu persatu. Kaloi bukanlah alim ulama yang bijak dan sesungguhnya tidak layak untuk mentafsirnya,kerana sedikit kesilapan yang dilakukan wahana sebutir cucu pasirpun akan memesongkan fakta. Cuma di sini kaloi ingin berkongsi bersama orang lain sedikit ilmu yang kaloi dapat ,bertepatanlah dengan ungkapan : Ilmu yang tidak digunakan itu umpama pohon yang tidak berbuah...
MORALNYA : Jangan makan banyak,Jangan cakap banyak,Jangan buat dosa dan Jangan tidak sabar

Friday 16 April 2010

BUDAYA DAN KITA.

Hari ini ,17 April,jam 8.00 pg-12.00 pg, Kaloi telah menghadiri satu majlis budaya yang dianjurkan oleh sebahagian rakan Kaloi berketurunan India iaitu Pesta Ponggal. Majlisnya serdehana sahaja tetapi sedikit sebanyak memberi input dan ilmu pengetahuan yang kadang kala kita rasa sudah mncukupi namun sebenarnya masih banyak yang kurangnya. Bak kata bijak pandai, Semakin kita tahu,Semakin banyak yang kita tidak tahu. Lagi pula tidak salah jika turut sama memeriahkan budaya kaum lain asalkan tidak menyimpang dengan agama. Konsep 1Malaysia yang PM sarankan sesungguhnya mendidik generasi masa ini malah masa depan agar lebih menghargai kehidupan bermasyarakat kerana kita dapat mempelajari pelbagai budaya dan adat resam kaum lain. Janganlah kita Umpama Katak Dibawah Tempurung Kaca yang hanya mampu menyaksikan namun tidak langsung ingin turut serta.Manusia begini adalah manusia hipokrit yang hanyut dalam dunia ciptaan sendiri. Tuhan pernah berfirman : makluk dijadikan dengan pelbagai jenis dan rupa, maka berkenal-kenalanlah kita sesama makhluk. Jangan sempitkan pemikiran kita dengan pelbagai alasan. Marilah kita hidup dalam harmoni.....

Wednesday 14 April 2010

Perlukah Kita Menentukan Pilihan?

hari ini,kaloi nak cakap pasal pilihan. Tidak semua orang berpeluang membuat pilihan dalam sesuatu perkara walaupun melibatkan masa depan mereka sendiri.Ada kalanya pilihan kita telah ditetapkan.Umpamanya anak-anak sering tidak tertunai pilihan mereka kerana pilihan adalah dibuat oleh ibu bapanya.Bagi kita yang dewasa ini juga tidak lepas daripada terpaksa menerima pilihan orang lain untuk diri kita sendiri.Kita seolah olah tidak mempunyai autoriti keatas diri sendiri...terutamanya dalam soal pekerjaan,kerana yang menentukan pilihan yang perlu kita buat ialah ketua kita..namun masih ada kebaikan juga.Jika semua orang ada kuasa membuat pilihan sendiri sesuatu organisasi itu akan hancur dek pelbagai pilihan yang dibuat.Lebih menakutkan jika pilihan yang dibuat semuanya berbeza pendapat dan alasan.
MORALNYA : Sentiasa perlu ikut arahan yang baik agar terus berjaya.

Petua (kata orang tua-tua???)

8 cara menjadi suami yang terhebat
Setiap isteri amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap suami dalam memimpin keluarga.
1. Imam Solat

Suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang lebih baik dalam agama.
2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama

Ini adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama. Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat membimbing kita dan keluarga kita.
3. Suami yang matang

Ramai suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.
4. Pandai Memasak

Suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga anak-anak.
5. Suami yang ‘independent’

Tahu menguruskan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti akan nampak hasilnya nanti!
6. Mempunyai prinsip dan pendirian

Suami tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga.. Pendirian ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri. Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada masalah anda.
7. Menjaga anak-anak bersama isteri

Banyak berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak. Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai kerjasama yang anda berikan.
8. Jadilah suami serba tahu

Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.

Thursday 8 April 2010

menentukan pilihan

Pada kebiasaannya kita sering menghadapi masalah dalam menentukan arah tuju masa depan kita.Paling kecil pun kita ada kalanya berada dalam dilema dan persimpangan untuk memilih antara dua, tak kiralah dalam apa-apa jua urusan.DUA pilihan yang mahukan cuma SATU jawapan.Dalam situasi sebegini ,keputusan amat sukar hendak dibuat kerana kita tidak pasti adakah pilihan yang bakal kita pilih itu nanti adalah pilihan yang tepat buat kita.Pelbagai persoalan bermain dalam minda kita ketika pada saat akhir sebelum menentukan jawapan..Buat teman-teman kaloi yang sedang berada dalam dilema menentukan pilihan, kaloi harap pilihan kalian adalah pilihan yang tepat dan sentiasalah yakinkan minda bahawa itulah pilihan yang PALING TEPAT dan PALING IDEAL untuk masa depan  kerana sekali keputusan telah dibuat maka tiada istilah berpaling,sebaliknya terus melangkah dengan penuh keazaman. Kaloi yakin rakan-rakan akan terus berjaya dalam segala bentuk tindakan. YAKINLAH PADA KEMAMPUAN KITA. Selamat maju jaya buat rakan-rakan kaloi yang sedang dalam dilema menentukan pilihan dua persimpangan.......

Tuesday 6 April 2010

kesihannya SEBAB.

Setiap perkara yang berlaku adalah atas sesuatu sebab.Hampir semua peristiwa tercipta berdasarkan sebab.Tanpa sebab ,mustahil sesuatu perkara atau peristiwa itu berlaku dan tak hairanlah sebab akan dijadikan batu loncatan kepada seseorang untuk melepaskan diri jika telah melakukan sesuatu sama ada baik mahupun buruk.Amat malang jika menjadi sebab kerana sebab akan dijadikan sebab.
Rasional yang kaloi ingin nyatakan di sini ialah jangan suka mengadakan atau mencari sebab jika telah melakukan sesuatu perkara.Kebiasaannya orang yang memberikan sebab dan alasan adalah orang yang lemah dan tidak yakin kepada kemampuan diri sendiri. Berbanggalah jika perkara itu baik dan bertanggungjawablah jika sebaliknya.

Monday 5 April 2010

sampai bila?

baru sebentar ni kaloi terfikir sesuatu,
tentang kehidupan yang bakal kita tempuhi,
tentang harga rumah yang semakin meningkat,
tentang harga barang yang semakin naik,
tentang harga diri yang semakin terhakis,
dan pastinya tentang kita yang semakin lanjut usia..
sampai bila kita harus begini???

cari satu persamaan dalam seribu perbezaan.

kaloi dan kumbang memang berbeza,
tapi kita boleh bersama,
asalkan kita dapat mencari persamaan antara kita,
walaupun banyak perbezaan namun dengan sedikit persamaan pastinya kita dapat bekerjasama dan hidup bersama.

samakah kita?








kumbang?
apa persamaan yang kita ada?
cuma awal kata bermula huruf sama.
aku hidup di air, kau di rimba
bagaimana harus kita dapat bersama?

al-kisah

kaloi suka mendengar
kaloi suka melihat
kaloi juga suka berfikir
tapi kaloi sukar bersuara
kerana kaloi tak pandai susun bicara
takut ada hati yang terluka
ada rasa yang tersinggung lara
oleh itu kaloi hanya meluahkan lewat pena
maaf jika ada yang terasa
jika ada yang terkena...
marilah kita berfikir bersama.