BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday 19 April 2010

Perigi Buta atau Buta Mata Hatinya??

Cerita lama buat anak-anak kaloi...
Ceritanya begini :
        Dalam sebuah kampung tinggal sepasang suami isteri yang telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak.Sikap dan peribadi kedua-dua suami isteri ini agak berbeza. Si suami seorang yang pendiam manakala si isteri amat suka bercakap dan berleter.Ada sahaja leteran si isteri, tidak kira dalam soal apapun..sehinggalah pada suatu hari si suami tidak lagi dapat menahan sabarnya terhadap sikap si isteri itu.
       Si suami telah mengambil keputusan yang cukup drastik iaitu memasukkan isterinya ke dalam sebuah perigi buta yang amat dalam.Si suami ini bukan kejam sangat orangnya. Setiap hari dia akan menghantar makanan untuk isterinya menggunakan tali .Mulai saat itu si suami tidak lagi mendengar leteran isterinya.
       Pada mulanya dia berasa hidupnya begitu aman dan jiwanya tenteram,tetapi lama -kelamaan hari-hari yang dilalui oleh si suami mulai membosankan kerana sudah lama tidak mendengar suara leteran si isteri.Selama ini dia sudah lali dengan leteran isterinya.Hidupnya kini terasa kosong dan sunyi.Maka teringatlah dia kepada isterinya yang telah ditinggalkan dalam perigi buta itu.Akhirnya setelah berfikir semasak-masaknya, dia mengambil keputusan untuk menjemput semula isterinya pulang ke rumah.
     Keesokan harinya, si suami telah berada di sisi telaga buta tersebut lantas menghulurkan tali ke dalam perigi buta dan menyeru isterinya supaya naik.Sebaik sahaja si suami habis berkata-kata, dia terasa yang tali yang dihulurkan itu seolah-olah ditarik sesuatu. Memikirkan yang menarik tali itu ialah isterinya,tanpa berlengah lagi si suami segera menarik tali itu ke atas dengan perasaan gembira.
    Sebaik sahaja tali itu hampir habis ditarik,tiba-tiba muncul satu lembaga yang hodoh rupanya,hitam kulitnya,berbulu seluruh tubuhnya dan begitu menyeramkan mata memandang.Segera si suami bertanya kepada lembaga itu , "Mana isteri aku?"
    Tiba-tiba lembaga itu menangis dan merayu dengan suara yang amat garau,"Tolonglah aku,tolonglah aku".
Si suami bertanya lagi,"Siapa kau sebenarnya?". Jawab lembaga itu, "Aku adalah penunggu perigi buta ini.Semenjak isteri kau berada dalam perigi buta aku ini, dia asyik bercakap dan berleter sahaja.Sekarang aku dah tak tahan mendengar leteran isteri kau itu.Tolonglah kau ambil semula isteri kau itu", rayu si penunggu telaga buta itu dengan esak tangisnya.
MORAL CERITA :
1. Jangan suka cakap banyak
2. Bersyukur dengan pilihan kita
3. Reda dengan ketentuan Tuhan.

     Tuhan mengurniakan kita dengan DUA TANGAN, DUA MATA dan DUA TELINGA , tetapi hanya SATU MULUT. Mengapa? kerana Tuhan mahukan kita kurangkan bercakap tapi lebihkan bekerja.
     

0 comments: